Salam~
Ramadhan 1429H bakal meninggalkan kita. Mungkin bagi sesetengah dari kita terasa sedih, ada pula yang bergembira. Masing-masing ada penilaian sendiri. Bagi anak-anak saya, mereka semakin ‘matang’ menghadapi akhir Ramadhan. Bangun sahur tak lagi tersengguk-sengguk depan hidangan. Mereka mungkin telah memahami beberapa perkara yang saya pernah sampaikan terutama bab hakikat manusia dan amalan hidup.
Anak saya pernah bertanya, “Kenapa kita kena puasa, abah?” Saya quote ayat 2 dari surah al-Mulk yang bermaksud, “Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)” [TMQ Al-Mulk (67):2] Maknanya, setiap dari manusia dihidupkan Allah ta’ala sebagai ‘pentas’ ujian, dan dari ujian tersebut siapakah diantara kita amalannya baik atau sebaliknya.
Dalam erti yang lebih tepat, hidup ini sebagai ujian agar kita tetap pada jalan Allah atau terpesong. Puasa adalah perintah Allah bagi kaum muslimin, maka ia ditunaikan agar manusia terlepas dari melalaikannya kerana kelalaiannya mengakibatkan sengsara dinegeri akhirat.
Saya teruskan bersembang tentang hakikat manusia. Anak-anak saya diam memasang telinga, nampak mereka sedang meneliti. Mungkin waktu itu ‘memory bank’ mereka terbuka luas untuk menerima ‘pelaburan’. Manusia ada jenis dua potensi; satu darinya dinamakan ulamak sebagai thaqatul hayawiyyah (potensi kehidupan) dan satu lagi thaqatul insaniyyah (potensi manusiawi).
Potensi kehidupan merangkumi keperluan (biolologi) dan kehendak/naluri (instinct). Tatkala manusia hidup, manusia beraktiviti untuk memenuhi potensi ini. Biasanya, apabila manusia berhadapan dengan masalah keperluan biologi, manusia sanggup melakukan apa saja agar masalah tadi diatasi. Misalnya ketika berlaku kebuluran, manusia mungkin berbunuhan demi meneruskan survivalnya tanpa mempertimbangkan lagi halal-haram, nilai-nilai, kesan dan sebagainya. Baginya, ketika itu, survival biologinya perlu dipenuhi agar terus hidup. Tak hairan jika orang yang sedang lemas terkapai-kapai didalam air akan menarik sesiapa sahaja yang dicapainya agar ia boleh terus bernafas dan hidup.
Ini adalah kerana potensi ini yang lahir internally (dalaman) diri manusia. Ini ketetapan Allah pada setiap manusia, kita tak mampu menafikannya. Manakala dalam soal naluri pula, manusia juga memiliki keinginan agar kehidupannya menjadi lebih baik dan terus lebih baik dari semasa ke semasa. Setelah manusia memenuhi keperluan biologinya, manusia akan mencari-cari kesenangan. Allah SWT telah menciptakan bagi setiap manusia (yang waras) potensi jenis ini. Dalam bahasa arab disebut Gharizatun.
Menurut ayat 24 surah At-Taubah, Allah berfirman, “Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, – (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).” [TMQ At-Taubah (9):24] ..gharizatun dikategorikan ulamak menjadi 3 (tiga) jenis. Yang pertama, disebut gharizatun nau’ (naluri seksual) atau lebih kita kenal dengan pengertian cinta.
Naluri ini menuntut agar kita mempunyai keinginan seksual seperti yang ada didalam ayat diatas, cinta kepada ibu dan bapa, cinta kepada anak-anak, cinta kepada pasangan dan seterusnya. Agar kegusaran kita diatasi jika kita tidak memenuhinya. Begitupula yang kedua, gharizatul baqa’ (naluri ingin kekal) yang menuntut agar kehidupan kita maju dalam bidang kebendaan mahupun kedudukan. Manusia mencari-cari jalan agar kehidupannya lebih baik dari yang lain. Persaingan ini wujud sebagai naluri yang Allah campakkan dalam penciptaan manusia.
Dalam ayat diatas, Allah menyatakan harta benda, perniagaan dan rumah (kediaman) sebagai menggambarkan jenis-jenis naluri ini. Tanpa pemenuhannya, manusia akan berasa gusar, gundah gulana hingga (mungkin) mereka kecewa dan putus asa darinya.
Manakala yang ketiga pula, ulamak menamakannya gharizatud tadayyun (naluri beragama). Disinilah wujudnya keadaan manusia mencari sesuatu agar mereka boleh melakukan pensucian (taqdis), lantas mengangkatnya menjadi tuhan mereka. Mereka juga tidak henti-henti melakukan ibadat agar tuhan mereka (dikatakan) berasa senang (menurut mereka). Wujud beragam jenis agama diatas mukabumi ini kerana naluri ini.
Dalam ayat 24 dari surah At-Taubah yang saya nyatakan diatas, naluri ini wujud dalam diri kita (kaum muslimin) melalui kata ‘kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya’. Prinsip naluri beragama hakikatnya bertentangan dengan prinsip naluri-naluri yang lain. Kenyataan ini dijelaskan oleh Syeikh Taqiyuddin An-Nabhani dalam nukilannya (Nizhamul Islam, bab Qiyadah Fikiryyah Fil Islam, ms 43 versi arab). Maksudnya, naluri beragama sentiasa memantau aktiviti manusia melalui peraturan-peraturan tertentu agar manusia terus memenuhi naluri mereka sesuai dengan tuntutan tuhan. Islam, satu-satunya agama yang memiliki peraturan-peraturan yang sempurna merangkumi semua aspek naluri manusia. Ia dipanggil syariat. Sedangkan agama lain, peraturan-peraturan tersebut tidak sempurna, bahkan menimbulkan pelbagai masalah dalam kehidupan.
Seperti kes pencabulan paderi di barat terhadap kanak-kanak, kes penindasan pemerintah keatas golongan agamawan di Burma baru-baru ini.. dan lain-lain adalah akibat pengasingan/penafian beberapa naluri dalam diri manusia yang merupakan fitrah dari seluruh aspek kehidupan manusia secara kolektif. Disinilah relevennya ayat 2 dari surah Al-Mulk yang saya nyatakan diatas. Allah azza wa jalla, menguji dikalangan kita siapakah diantara kita yang baik amalannya, taat kepada perintah Allah serta menjauhi larangan-Nya.
Tentu sekali, potensi manusiawi (thaqatul insaniyyah) pula bertanggungjawab menentukan pilihan kita. Amalan kita bergantung kepada keputusan akal. Jika akal tunduk dengan syariat Allah, maka selamatlah kita didunia dan akhirat, manakala sebaliknya, azab sentiasa menanti dengan penuh sadis! Akal merupakan thaqatul insaniyyah. Akallah yang menjadikan batang tubuh manusia itu menjadi manusia (hamba Allah) atau selainnya. Haiwan hanya memiliki satu potensi, thaqatul hayawiyyah kerana iradah Allah menjadikan mereka tidak berakal.
Maka sesiapa dikalangan manusia yang tidak menggunakan akalnya dengan baik, maka pengengkaran nikmati ini disama tarafkan ke martabat haiwani. Orang-orang kafir merupakan golongan yang dimaksudkan oleh Allah dengan memiliki martabat haiwani. Saya rasakan, input yang saya berikan agak ‘berat’. Banyak juga term-term yang baru diperkenal. Tak mengapalah, saya tidak akan putus asa dalam mendidik anak-anak, dan juga sesiapapun yang berkehendak kepada pengetahuan. Itu tanggungjawab saya dan harapan saya agar Allah tidak menariknya dari saya atau menolak saya sebagai hamba-Nya dari kalangan solehin, syuhada.. amin. Wassalam
*Artikel dari email radio_malaya@yahoo.com